Jeritan mautOleh Mohd Husni Mohd Noor dan Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
am@hmetro.com.myIPOH: “Mana bini aku, mana bini aku...,” jerit Jafri Tajul Aripin, 47, kepada seorang lelaki dipercayai suspek kes samun dan bunuh dua beranak dan seorang pembantu rumah di Laluan Pinji Seni 4, Taman Pinji Seni, Jalan Sultan Azlan Shah di sini, semalam.Jafri yang menangkap lelaki terbabit dengan bantuan seorang rakan berkata, dia mulanya bergegas pulang ke rumah apabila mendengar jeritan isterinya, Wah Yah Mat Zi, 42, ketika berbual menggunakan telefon bimbit sebelum talian itu terputus.Bimbang kejadian buruk menimpa keluarganya, Jafri segera memasuki rumahnya lalu mendapati mayat Wah Yah dan pembantu rumah terbujur di ruang tamu dalam keadaan berlumuran darah.Dalam keadaan terkejut itu, dia terus mencari anak bongsunya, Ermin Denish, 5, sebelum mayatnya ditemui di dalam bilik air.
Dia kemudian terserempak seorang lelaki dipercayai suspek yang terburu-buru cuba melarikan diri dari rumahnya dengan melompat pagar sambil membawa sebuah beg menuju ke sebuah motosikal.
Berang dengan kejadian kejam itu, kata Jafri, dia mencapai sebilah parang dalam keretanya sebelum mengejar suspek di hadapan rumah.Dengan bantuan rakan, Ahmad Hanafiah, 38, yang kebetulan ternampak lelaki terbabit dikejar Jafri, mereka berjaya menghalang suspek daripada melarikan diri dengan menggunakan kereta.“Lelaki terbabit terjatuh sebelum saya menangkapnya dengan dibantu rakan yang kebetulan berada di kawasan rumah.“Kami mengikatnya dengan hos getah sementara menunggu ketibaan polis,” katanya ketika ditemui di rumahnya. Dalam kejadian jam 2.45 petang itu, Wah Yah yang juga pemilik salun, Ermin serta pembantu rumah mereka dikenali sebagai Dani, 18, ditemui mati dibunuh dengan kesan tikaman dan kelar di beberapa bahagian badan dalam kejadian samun bersenjata.
Harian Metro difahamkan, Wah Yah baru saja mengeluarkan wang RM4,000 dari bank berdekatan sebelum dia dipercayai diekori penjenayah terbabit sehingga ke rumah. Saksi kejadian yang juga kenalan Jafri, Ahmad Hanafiah, 38, berkata dia hairan apabila melihat rakannya berlari masuk ke rumahnya dalam keadaan tergesa-gesa.“Saya cemas sebelum berpatah balik untuk melihat apa yang berlaku. Apabila tiba di tempat kejadian, saya melihat seorang lelaki melompat keluar dari pagar rumah mangsa dengan membawa sebuah beg dan bergegas menaiki motosikalnya.
“Saya dan Jafri menghalang suspek dengan menggunakan kereta dan terus keluar menangkap lelaki terbabit yang terjatuh sebelum sempat dia melarikan diri,” katanya. Ahmad berkata, ketika kejadian, dia baru saja mengeluarkan wang di sebuah bank berhampiran rumah mangsa sebelum ternampak rakannya itu kelihatan cemas. “Sebelum itu, saya baru saja selesai melakukan kerja mengecat pagar di Jabatan Penerbangan Awam dan kebetulan melalui kawasan kediaman mangsa,” katanya. Sementara itu, Jafri terpaksa ditenangkan saudaranya dan lebih menyayat hati apabila anak perempuan mangsa berusia 10 tahun berlari sambil meraung “Mami, Mami” sebelum mendapatkan ayahnya selepas mengetahui kejadian menimpa ibu. Keadaan di sekitar rumah mangsa juga sesak dengan kehadiran 300 orang menyebabkan polis mengeluarkan arahan supaya orang ramai beredar.
Mayat ketiga-tiga mangsa dibawa keluar dari rumah berkenaan jam 6.10 petang sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.